Followers

Cari Blog Ini

Ahad, 1 Mac 2015

HUDUD : HENDAK KEMANA HALA TUJU PAKATAN RAKYAT - NASAIE

KUALA LUMPUR: UMNO kini dikatakan cuba memanipulasi isu hudud untuk meraih semaksima mungkin undi Melayu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang. Ketua Penerangan Pemuda PAS, Mohd Nasaie Ismail berkata, taktik itu pernah digunakan semasa berhadapan isu nama Allah yang berlaku sebelum pilihan raya umum yang lepas. "Presiden PAS membuat ketetapan dibenarkan bukan Islam menggunakan nama Allah kerana tiada halangan dalam agama untuk mereka menggunakannya. Juga diperingatkan agar ianya tidak disalahgunakan. Sikap itu menimbulkan polimik apabila sebilangan pihak tidak bersetuju. "UMNO memanipulasi isu tersebut demi mendapatkan semaksima mungkin undi Melayu. PAS dilihat defensif apabila terpaksa berdepan pelbagai pihak yang 'tidak tahu' hukum sebenar ataupun kalangan mereka yang sengaja mengambil kepentingan politik. Natijahnya sedikit sebanyak dilihat memberi kesan kepada undi Melayu kepada PAS," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


 Mohd Nasaie memberi contoh berkenaan ketika mengulas kenyataan pemimpin DAP yang dilihat seolah mahu menghalau PAS keluar Pakatan Rakyat baru-baru ini sekiranya membentangkan pindaan enakmen jenayah syariah di DUN Kelantan. Katanya, kelebihan Pakatan Pembangkang dilihat menonjol apabila berdepan masalah dengan cara membina kefahaman dan bukan lari daripada masalah untuk keuntungan yang singkat. "Politik baru ialah politik ilmu. Mengilmukan rakyat agar mereka faham dan perubahan dilakukan atas dasar kefahaman. "Isu hudud yang dipolemikkan sejak tahun 1993 lagi sejurus Kelantan meluluskan enakmen berkenaan di DUN kelantan. Kemudian berlarutan pada tahun 2001 apabila kerajaan PAS Terengganu mengambil tindakan yang sama. 

 "Kini ia muncul lagi apabila Kelantan berhasrat melaksanakannya dengan membawa perkara ini ke parlimen. Sepanjang tempoh itu, berlaku perdebatan yang panjang antara DAP dengan PAS yang sedikit sebanyak memberi kefahaman kepada sebahagian besar pemimpin DAP terhadap hasrat PAS tersebut," ujarnya. Kerana itu jelasnya, dia tidak merasakan penentangan DAP terhadap hudud disebabkan tidak faham tetapi lebih menjurus kepada undi. "Lawan DAP iaitu MCA dan Gerakan yang nyawa nyawa ikan itu akan terus menerus memainkan sentimen tersebut agar pengundi bukan Islam menjauhi DAP. "Sekali imbas ia boleh memberi impak penolakan bukan Islam terhadap DAP. Namun adakah ianya sesuatu yang benar? Jika benar sekalipun, kenapa kita tidak sedia berdepan dengan masalah tersebut dengan memberi kefahaman kepada mereka," katanya. Sebagaimana dalam isu nama Allah tegasnya, PAS mengambil risiko sementara, tetapi kesannya baik untuk jangka masa panjang apabila muslim dan bukan muslim mendapat kefahaman yang jelas sehingga isu itu berjaya diselesaikan.

 "Jika perbezaan kita dalam isu hudud, ianya sesuatu yang sudah kita sedari sejak awal. Sejak bila pula tiada perbezaan diantara kita. "Namun persamaan dalam melaksanakan agenda bersama, tidak perlu sampai menghalang hasrat dan cita-cita berbeza diantara setiap parti. Itu hak masing masing. Kita boleh 'bersetuju untuk tidak bersetuju'," jelasnya. Katanya lagi, semua pemimpin Pakatan Rakyat diminta menjadi pengamal politik baru sebelum membuat perubahan di peringkat kerajaan pusat. "Masalah mesti dihadapi dan bukan melarikan diri daripada masalah. "Sikap ini bukan sekadar untuk merelevankan kita diterima rakyat dalam pilihan raya, tetapi melatih dan menggambarkan sikap jujur kita untuk memimpin rakyat negara ini," ujarnya.

Tiada ulasan: