Followers

Cari Blog Ini

Selasa, 18 November 2014

Mahkamah Persekutuan Syariah: PAS Sedia Diajak Bincang

PAS pada prinsipnya bersetuju dengan cadangan kerajaan bagi menubuhkan Mahkamah Persekutuan Syariah jika ia dilihat dapat menambah baik sistem mahkamah syariah sedia ada. Malah, PAS bersedia menawarkan diri untuk duduk bersama-sama berbincang dengan kerajaan dalam menjayakan usaha itu, tegas Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub. Bercakap kepada Harakahdaily, hari ini, Salahuddin berkata dengan berlatar belakangkan berbagai ilmu dan kemahiran di kalangan pemimpin PAS, maka parti Islam itu bersedia duduk bersama kerajaan.

 "PAS setuju secara prinsipnya, dan bersedia jika PAS diajak untuk sama-sama berbincang bagi menentukan mekanisme tertentu bagi penubuhan Mahkamah Persekutuan Syariah tersebut. "Para pemimpin PAS mempunyai ilmu dan kepakaran yang pelbagai, yang membolehkan PAS membantu kerajaan dalam usaha memartabatkan agama Islam di negara ini," tegas beliau. Bagaimanapun, beliau menambah dalam masa sama fungsi dan peranan mahkamah syariah sedia ada perlu diberi penambahbaikan. Sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pernah menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan kerajaan dalam isu-isu berkaitan mengangkat martabat perundangan Syariah Islam. 


 Jumaat lepas, Menteri Agama, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengumumkan perkara tersebut setelah cadangan itu diajukan kepada kabinet. Jamil dilaporkan berkata lima peringkat mahkamah syariah itu turut melibatkan penubuhan Mahkamah Tengah Syariah dan Majlis Rayuan Syariah. Jamil juga menegaskan tahap bidang kuasa Mahkamah Persekutuan Syariah itu harus sama dengan Mahkamah Persekutuan Sivil. Bagaimanapun, cadangan awal itu ditentang golongan bukan Islam, antaranya MIC, MCA, DAP dan Gerakan.

Tiada ulasan: